INTERNATIONAL

EKSKLUSIF WAWANCARA HELWI (2009) BERSAMA MUSLIMAT HAMAS

 

MAHASISWI MALAYSIA (HELWI) MENDEKATI MUSLIMAT HAMAS, SYRIA

Disediakan oleh : Wartawan Majalah ITqan

Kali pertama kami menemui beliau adalah pada bulan Februari 2009 atas nama team group Mufakkiratul Mukminah iaitu sebuah risalah rasmi yang diterbitkan di bawah Lajnah Penerangan, Dewan Helwi berikutan tercetusnya peperangan Gaza, Palestin yang dilancarkan secara besar-besaran buat sekian kali oleh pihak Zionis pada bulan Ogos 2008 yang lalu. Kedatangan kami ke pejabat beliau yang terletak di Awal Suq Sayyarat, Syari’ Tsalatsin, Maktab Amal Niswi asy-Sya’bi disambut dengan senyuman beserta beberapa muslimat lain. Perasaan teruja dan gembira dapat menjejakkan kaki dan bertemu Ummu Muhammad jelas tergambar. Apatah lagi apabila dikhabarkan bahawa kedatangan kami merupakan wakil muslimat Helwi pertama yang datang secara rasmi dengan membawa nama wakil persatuan pelajar Malaysia lebih mengujakan beliau.

Puan Ferial Zeno Mudirah Amal Niswi asy-Sya’bi Muslimat HAMAS

Hubung jalin yang telah terbina antara dua pihak pada pertemuan pertama tanpa disangka rupa-rupanya telah membawa kepada pertemuan kali kedua pada Oktober 2009. Jika kedatangan kami dahulu lebih berbentuk formal atas dasar mendapatkan maklumat rasmi dan temubual secara langsung untuk dimasukkan dalam risalah bulan Februari Mufakkiratul Mukminah, kali ini kedatangan kami lebih bersifat ziarah dan bertujuan mengenali pertubuhan kebajikan rakyat Palestin ini secara lebih dekat dengan membawa nama wakil majalah rasmi persatuan iaitu ITqan walaupun niat asalnya untuk meminta pandangan beliau terhadap isu Golan tetapi terpaksa ditolak lantaran isu tersebut banyak menyentuh politik Syria sendiri.    

Seperti mana dijanjikan, pukul 9.00 pagi kami kena berada di pejabat beliau. Hampir setahun kami tak menjejakkan kaki ke maktab tersebut rupanya kedudukannya telah dipindahkan ke bangunan sebelah dengan kedudukan yang lebih selesa dan lebih luas khusus untuk muslimat . Pintu dikuak, kami dipelawa masuk dan terus diajak untuk menjamu makan pagi dengan makanan terhidang layaknya menjamu tetamu ‘besar’. Sedikit terkejut, tidak menyangka dilayan selayaknya sebagai tetamu sedangkan kalau diikutkan kedatangan kami untuk menemu bual, maka sepatutnya kamilah yang perlu memberi penghargaan sebegitu. Rasa sedikit segan tapi hanya mampu tersenyum. Inilah salah satu sikap teladan bangsa Arab yang sangat memuliakan tetamu.

Ummu Muhammad atau nama sebenarnya Puan Ferial Zeno merupakan Mudirah Amal Niswi asy-Sya’bi sebuah pertubuhan kebajikan di sebelah muslimat yang bernaung di bawah persatuan induk Pertubuhan Kebajikan HAMAS untuk rakyat Palestin yang berada di Syria. Susuk tubuh yang agak sederhana jika dinisbahkan dengan kami dan agak kecil jika dinisbahkan dengan kebanyakan bangsa Palestin (bangsa yang ditetapkan dan dipilih untuk mempertahankan al-Quds) sebenarnya tidak pencil di pandangan dunia. Penglibatan beliau dalam organisasi Muslimat HAMAS ini sebenarnya agak kukuh yang terbukti apabila beliau pernah memangku tugas isteri almarhum Dr. Aziz Rantisi di cawangan Yaman kerana memenuhi jemputan wawancara di saluran TV9 Malaysia pada ketika itu. Namun, rasa kagum kami terhadap beliau lebih lagi terhadap peribadi, kehebatan dan keberuntungan beliau ditaqdirkan menjadi salah seorang balu kepada syuhada Palestin. Asy-Syahid Izzudin Syeikh Khalil, suaminya bukan calang-calang. Pengasas kepada Pertubuhan Ketenteraan HAMAS di Mantiqah Syija’iyyah, Syria yang syahid pada 26 September 2004 ketika usia 42 tahun dalam satu tragedi di mana  beliau telah diletupkan dalam sebuah kereta yang selama ini menjadi intipan pihak Zionis. Menceritakan awal kedatangan beliau ke Syria adalah pada tahun 1993 bersama keluarga. Kini yang ditinggalkan bersama beliau adalah 3 orang anak iaitu Rahibah, 15 tahun, Muhammad, 10 tahun dan Habil, 7 tahun.

Bertanya soal pertubuhan kebajikan ini, tujuan utama penubuhannya adalah untuk mengurus sebarang bentuk kebajikan rakyat Palestin mengikut cawangan masing-masing. Seperti di Syria sendiri terdapat 4 cawangan yang ditubuhkan. Secara umumnya, antara bentuk kebajikan yang disalurkan ialah mengurus barang dan bantuan serta duit untuk disalurkan kepada rakyat Palestin, menyediakan bantuan bagi pelarian Palestin, menguruskan kebajikan penempatan Palestin beserta keperluan terutama apabila menjelangnya Ramadhan, keperluan sekolah dan bantuan kesihatan. Namun begitu, tidak semua bentuk bantuan diberikan terus kepada rakyat Palestin. Terdapat bentuk bantuan yang diberi dalam bentuk memberi peluang dan menghasilkan barangan mengikut kemahiran dan kekereatifan yang disediakan buat para balu. Terdapat bengkel-bengkel dan peralatan yang dibekalkan untuk menghasilkan barangan. Selain itu, ada juga di kalangan mereka diletakkan di restoran-restoran yang dibuka dan biasanya mereka akan memberi khidmat sebagai tukang masak. Sambil beliau menerangkan kepada kami, beliau turut menunjukkan kepada kami hasil kraftangan yang telah dihasilkan oleh mereka antaranya bantal, key chain, gelang tangan, rantai, tembikar, mug dan lain-lain. Sesekali sedang kami rancak berbual, perbualan kadang-kadang terhenti kerana beliau terpaksa mengangkat panggilan yang bertubi-tubi berdering. Terasa kesibukan beliau dalam menguruskan persatuan ini dan terasa kagum terlintas simpati mengingatkan ketabahan beliau menghadapi kehidupan sebagai balu di bumi bukan kelahiran bersama anak-anak. Namun, rasa simpati itu segera padam dan bertukar cemburu. “Lelaki yang baik untuk wanita yang baik”. Itu kata Tuhan. Jika si lelaki adalah seorang syuhada, maka kadang-kadang begitulah ukuran yang selayaknya juga bagi si wanita. Tapi, bukan soal syahid atau tidak, soalnya ialah bukan mudah-mudah Allah memilih seseorang itu dengan gelar syuhada melainkan dia mempunyai iman dan taqwa yang dalam. Selama ini hanya mendengar dan mengagumi para syuhada tetapi kini, di hadapan mata adalah seorang wanita bekas milik seorang syuhada! Subhanallah.

Kami meneruskan perbualan yang terhenti. Beliau berkongsi, kebanyakan pelarian Palestin lebih tertumpu masuk ke negara Syria memandangkan faktor Syria dari segi keterbukaan dan penerimaan pelarian Palestin begitu baik. Malah, bantuan yang dihulurkan oleh rakyat Syria sendiri sangat baik. Kami akui, kalau tidak masakan terdapat satu daerah Syria yang disediakan khusus untuk Palestin sahaja? Apatah lagi, dari segi lanskap politik dunia kini memperlihatkan selain Iran, Syria adalah dalam pemerhatian kecaman Amerika kerana dari segi komited Syria menghulurkan bantuan kepada Palestin dan protes yang ditunjukkan. Lebih menonjolkan dan mencetuskan lagi gamat politik Syria dengan Israel melalui isu Bukit Golan yang tidak kunjung selesai menjadi jajahan haram Zionis Israel. Beliau menambah lagi, selain Syria dua negara utama yang mengizinkan dan menerima rakyat Palestin ialah Yaman dan Sudan. Kami difahamkan kebanyakan yang ke Sudan menjadi pelajar dan doktor. Di negara-negara lain seperti Mesir, Jordan, Kuwait dan Lubnan turut ada rakyat Palestin yang ke sana namun dengan angka yang tidak banyak kerana kondisi yang kurang selamat. Kami difahamkan bahawa rakyat Palestin yang ingin masuk ke Syria tapi untuk urusan belajar, ziarah dan sebagainya itu tidak termasuk dalam pengurusan kebajikan yang dikendalikan oleh pertubuhan ini. Mereka hanya mengurusklan dari sudut kebajikan termasuk anak-anak syuhada’, rumah-rumah yang telah dirobohkan, anak-anak yatim, janda dan keluarga yang memerlukan bantuan.

Kami kembali membincangkan soal nasib rakyat Palestin yang saban hari mendapat tekanan dan penindasan daripada rakyat Yahudi dan tentera Zionis itu sendiri yang amat mengguris hati. Sikap rakyat Yahudi yang begitu kejam sehingga mereka mengajar kepada anak-anak mereka agar membunuh rakyat Palestin di mana-mana sahaja mereka temui rakyat Palestin. Perempuan-perempuan mengandung diperlakukan dengan lebih kejam lagi apabila diperlakukan di luar peri kemanusiaan dengan mereka diinjak-injak oleh kasut-kasut askar Zionis. Masya Allah. Agak tersentak kami mendengar penjelasan beliau. Kami semua terkedu dan jelas terlihat di mata beliau berkaca-kaca menakung air mata yang tertahan tapi masih mengukir senyum. Lama kami terdiam dan beliau menyambung bahawa terdapat juga tentera-tentera Yahudi yang dihantar adalah datang dari negara luar dan mereka menjadi askar paksaan dan ibu bapa mereka juga tidak setuju tapi mereka dipaksa. Dan kita jangan salah tanggap bahawa semua Yahudi adalah jahat. Sebenarnya ramai juga di kalangan Yahudi sendiri tidak sanggup untuk merampas tanah Palestin dengan jalan perancangan Zionis yang kejam. Oleh itu, ada di kalangan  mereka yang sanggup keluar dari Palestin dan tidak ingin terlibat.

Sedar tidak sedar, kami sudah berada 1 jam lebih menemu bual beliau. Walaupun tidak banyak yang dihuraikan tapi kami puas sekurang-kurangnya kami mendapat input dari segi pergerakan pertubuhan ini dan lebih mendekati mereka. Di akhir perbualan kami, beliau mengucapakan terima kasih tidak terhingga atas kunjungan kami selaku wakil persatuan pelajar yang menunjukkan sikap prihatin terhadap nasib rakyat Palestin. Beliau mengharapkan agar kedatangan kami selaku wakil persatuan pelajar Malaysia mampu menyampaikan dan mewar-warkan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin dan memikirkan apakah bantuan dan sumbangan yang mampu dihulurkan dengan aspek lebih luas bukan semata-mata bantuan material. Sekurang-kurangnya mampu menceritakan dan menyampaikan kedukaan, penderitaan dan kesusahan rakyat Palestin ke seantero dunia juga adalah sumbangan yang besar. Paling tidak, apa yang sangat diharapkan adalah doa dari seluruh umat Islam akan keselamatan negara Palestin iaitu negara umat Islam di mana semua umat Islam  wajib bangun dan membebaskan tanah Palestin walau dengan apa cara sekalipun. Harapan beliau itu kami sambut dengan mengucapkan insya Allah dan menimbulkan rasa kesedaran terhadap tanggungjawab membebaskan Baitul Maqdis bukan tergalas di bahu rakyat Palestin sahaja malahan seluruh umat Islam. Kata-kata akhir beliau menamatkan temu bual kami dan sebelum kami balik beliau memberikan cenderahati kepada kami berbentuk rantai hasil kraftangan dan mafla. Kami bersalam-salaman dan berdoa agar hubungan yang terjalin ini akan kekal sampai bila-bila..

Kenangan wartawan majalah itqan bersama muslimat HAMAS

 

semasa wawancara(januari) berlangsung

 

Semasa program muhadharah mingguan muslimat. Empat dari kiri adalah Hibatullah anak kepada Khalid Masy’al

 

Pertemuan kali kedua di pejabat baru beliau. Dari kiri : Syuhada, Hawa Afiqah, Ummu Muhammad, Kak Rafidah dan Khairul Bariah

Pertemuan kali pertama di pejabat lama beliau. Dari kiri depan:Raja Emarni, Asma, Syuhada, Ummu Muhammad Kiri belakang: Pembantu 1, Yusmiza, Pembantu 2, Aisyah 

 

SEKITAR SELEPAS GENJATAN SENJATA DAN PERKEMBANGAN TERKINI PALESTIN

19 12 2009

Genjatan senjata yang berlaku pada 18 Januari 2009 antara dua pihak mungkin memberi sedikit kelegaan. Walaubagaimanapun, masih menjadi tanda tanya adakah genjatan senjata ini mampu menjawab segala persoalan isu Palestin yang sejak sekian lama menghadapi pelbagai ragam konflik hak kemanusiaan, politik dan agama? Apakah ia akan membawa kepada satu perdamaian antara dua pihak demi nyawa rakyat Palestin yang setiap hari bagai telur di hujung tanduk? Untuk mencari jawapan terhadap persoalan-persoalan yang timbul krew Mufakkiratul Mukminah telah       menemui wakil HAMAS walaupun pertemuan kali pertama terpaksa ditangguhkan pada keesokan harinya tetapi alhamdulillah, pada 4 Januari 2009 kami telah membuat pertemuan bersama Puan Ferial Zeno atau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Muhammad selaku Mudirah Amal Niswi asy-Sya’bi di pejabat beliau sendiri yang terletak di Awal Suq Sayyarat, Syari’ Tsalatsin, Maktab Amal Niswi asy-Sya’bi. Berikut adalah hasil temubual kami bersama beliau.  

 

Soalan : Boleh puan ceritakan serba sedikit tentang latar belakang diri puan?

Ummu Muhammad : Saya berasal dari Palestin dan kali pertama datang menetap di Syria pada tahun 1993 bersama keluarga. Saya mempunyai 3 orang anak iaitu Hibah sekarang berumur 13 tahun, Muhammad 10 tahun dan Habil 7 tahun. Suami saya adalah asy-Syahid Izzuddin Syeikh Khalil yang telah syahid pada 26 September 2004 di Syria dalam usia 42 tahun akibat diburu oleh pihak Zionis yang mana kereta beliau telah diletupkan. Asy-Syahid merupakan pengasas kepada Pertubuhan Ketenteraan HAMAS di Mantiqah Syija’iyyah.

 Soalan : Pada serangan baru-baru ini, kita melihat ramai kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa. Pada pandangan puan, mengapa Israel banyak menumpukan serangan pada golongan ini?   

Ummu Muhammad : Semestinya serangan banyak terkena pada golongan kanak-kanak dan wanita kerana mereka yang berada di rumah serangan dilakukan. Mujahidin (kaum lelaki) berada di luar rumah kerana mereka pergi berperang. Mereka yang tinggal di rumah disuruh meninggalkan rumah tetapi di mana mereka ingin pergi? Semua tempat sudah terkepung dan bunyi dentuman seolah-olah berlaku gempa bumi. Maka, mereka mengambil keputusan tidak akan keluar. Sehingga ada di kalangan mereka menggenggam tanah dan bercita-cita untuk syahid. Kalau tidur, boleh jadi sebelum subuh tu dah syahid. Manusia tidak akan terpisah daripada mati.       

Semasa sesi temubual di pejabat beliau

Soalan : Adakah keterlibatan wanita dalam perang menentang Israel?

Ummu Muhammad: Wanita tidak terlibat secara langsung pergi berperang kerana untuk setakat ini wanita masih tidak dibenarkan berdasarkan beberapa syarat.    Namun, terdapat latihan ketenteraan khusus buat wanita yang sebelum ini tidak pernah diwujudkan contohnya latihan dalam menggunakan senjata. Latihan ini tidak   terbuka kepada semua peringkat umur mengikut kesesuaian.

Soalan : Jadi, dari segi apa sumbangan wanita? 

Ummu Muhammad: Walaupun tidak keluar berperang tetapi wanita menyumbangkan tenaga dalam pelbagai perkara. Contohnya, wanita akan menginfakkan harta mereka, menguruskan hal-hal berkaitan seperti membasuh pakaian dan lain-lain.

 

Soalan : Tentang genjatan senjata yang berlaku, adakah ia menunjukkan satu usaha perdamaian?

Ummu Muhammad : Sebenarnya tiada sebarang perdamaian yang berlaku. Kalau benar ada belaku perdamaian, Israek pasti mensyaratkan rakyat Palestin supaya keluar dari bumi Palestin kerana sejak awal matlamat mereka untuk menguasai al-Quds. Mereka menggali terowong di bawah Masjidil Aqsa sehingga mereka dapat musnahkan seluruhnya. Mereka tidak akan berhenti dan akan terus menentang sehingga dapat menguasai seluruh bumi Palestin. Dan sehingga sekarang serangan terus berlaku dan tidak berhenti walaupun selepas 18 Januari tetapi ia tidak diwar-warkan dan dilaporkan. Mereka terus-menerus membunuh rakyat Palestin dan rumah mereka dimusnahkan. Kaum lelaki yang mereka syaki adalah anggota HAMAS mereka akan terus bunuh.

 

Soalan : Adakah sebarang perjanjian akan dibuat antara HAMAS dengan Israel?

Bergambar bersama kakitangan Amal Niswi asy-Sya’bi. Gambar paling kanan adalah Puan Ferial Zeno selaku Mudirah.

Ummu Muhammad : HAMAS sentiasa berpegang pada setiap perjanjian yang dimeterai tetapi Israel tidak pernah berpegang pada janji. Perjanjian yang sebelum ini pun, dalam tempoh 3 bulan Israel sudah melanggar syarat perjanjian.

 

Soalan : Tentang Hosni Mubarak selaku Presiden Mesir mengapa dia dilihat tidak mempertahankan Palestin walaupun sebangsa dan menjadi dalang dengan tidak   membuka sempadan?

Ummu Muhammad: Sebab utamanypemerintah mereka sendiri bersekongkol dengan pihak Zionis. Pemerintah mereka tunduk pada Zionis. Kami tak boleh buat apa-apa sebab itu semua bergantung pada pemerintahan mereka.

 

Soalan : Apa pandangan puan terhadap demonstrasi yang diadakan di seluruh dunia?

Ummu Muhammad : Kami dapat merasakan bahawa kami tidak bersendirian dalam memperjuangkan bumi Palestin menentang Israel. Kami merasakan satu semangat apabila ada negara Arab dan negara Islam melahirkan kebersamaan mereka. Negara-negara ini berdiri bersama kami. Dan kita dapat lihat semua bangsa bersama dengan HAMAS tika ini. Kami bersyukur dan berterima kasih atas sokongan negara-negara ini.

 

Soalan : Rasanya, apa tindakan Israel selepas ini?

 Semasa program muhadharah mingguan muslimat. Belakang: Tiga dari kanan adalah Hibatullah anak kepada Khalid Masy’al.

Ummu Muhammad : Israel tidak akan menghentikan serangannya kerana Israel tidak akan berhenti selagi tidak mencapai matlamatnya dan menguasai tanah Palestin. Mereka akan terus menekan HAMAS. Rakyat Palestin tidak inginkan makanan dan apa-apa melainkan tanah mereka.

 

Soalan : Kejatuhan syarikat gergasi Amerika iaitu Syt. Lehman Brothers, Merrill Lynch dan AIG menyebabkan kejatuhan ekonomi Amerika di tahap kritikal. Dan kita mengetahui Amerika yang membiayai kos peperangan yang dilancarkan oleh Israel. Jadi, dalam keadaan sekarang ini, dari mana Israel mendapatkan sumber kewangan dalam melancarkan serangan?

Ummu Muhammad : Ameriska mendapat sumber kewangan daripada Kerajaan Arab Saudi melalui hasil petrol. Bukan isu bangsa Arab, tapi isunya ialah pemerintah Arab Saudi sendiri itu tidak berada di belakang Palestin. Kalaulah Arab Saudi tidak     memberi petrol itu kepada Amerika, ekonomi Amerika akan jatuh keseluruhannya! Faktor lain lagi yang menyebabkan ekonomi Amerika jatuh ialah kerana pemboikotan barangan mereka.

 

Soalan : Buat masa sekarang ini, apa tindakan yang dibuat oleh HAMAS?

Ummu Muhammad : Dalam tempoh sekarang ni, telah dibuat dialog antara HAMAS, pemimpin Palestin dan Mesir. Agendanya ialah untuk membuka sempadan di Mesir yang sehingga sekarang masih belum mendapat kata putus. Sempadan ini sangat penting kerana satu-satunya saluran yang boleh membawa masuk makanan, alat perubatan dan segala bentuk bantuan. Israel ada menuntut HAMAS menghentikan serangan tetapi tanpa syarat. Tapi, sebelah HAMAS menuntut menghentikan serangan dengan meletakkan syarat iaitu membuka sempadan. Sekarang ni, barang-barang yang telah diinfaqkan telah dimusnahkan. Rakyat Palestin terkepung dengan kelaparan. Kalau ada makanan pun, ia dijual dengan harga yang sangat mahal sedangkan rakyat Palestin  majoritinya adalah miskin sehingga kadar kemiskinan dalam   anggaran 80% daripada seluruh penduduk  Palestin. Saya ada berhubung dengan ahli keluarga yang masih tinggal di Palestin dan mereka menagatakan segala sumber telah terputus. Sehingga pada hari raya yang lepas mereka tidak dapat membeli makanana dan pakaian. Walaupun begitu, mereka masih menyambut hari raya sekadarnya dan mereka tetap tabah dan setia untuk terus bertahan di Palestin.

Soalan : Dalam peperangan ini, adakah Osama bin Laden terlibat?

Ummu Muhammad : Tidak, Osama tidak ada kaitan dengan HAMAS. HAMAS dibina sendiri yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin dan perjuangannya adalah untuk membebaskan Palestin.

 

Soalan : Soalan terakhir, apakan pandangan puan terhadap masa depan Palestin.  Adakah puan merasakan kemenangan  itu sudah semakin dekat atau masih jauh?

Ummu Muhammad : Allahu Rabbal ‘Alamin (tersenyum). Itu semua atas urusan Allah. Kita akan terus berjuang dan berjuang. Apa yang diharapkan adalah sokongan dan bantuan daripada semua pihak untuk meneruskan perjuangan ini sehingga menuju kemenagan demi Islam dan Palestin.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: