IKRAR JAUHI MAKSIAT BERSUNGGUH-SUNGGUH

Datuk Mohd Zawawi Yusoh

 Buat dosa memang seronok, lihatlah sendiri bagaimana riuh dan heboh golongan yang mengunjungi konsert liar di tepi pantai, dataran, pusat beli-belah dan kelab malam. Tidak kurang juga yang melakukan maksiat di rumah sendiri iaitu dengan menonton televisyen, radio, Internet, SMS, MMS, sumbang mahram dan sebagainya.

Majlis ilmu di Masjid tidak diikuti, kitab suci al-Quran tidak dibuka dan dibaca, tetapi peribadi dan akhlak semakin jauh daripada landasan sebenar. Beberapa bulan lalu, di Indonesia berlakunya letupan gunung berapi. Lihat saja bagaimana penduduknya bertempiaran lari kerana takut kepada lava panas yang keluar daripada Gunung Merapi.

Malah, ada yang tidak sempat melarikan diri, terkorban dengan kesan yang sangat yang menyanyat hati apabila mendapat kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat terkena debu panas. Panasnya lava tidak sama dengan kepanasan api neraka. Sebagaimana disebut dalam hadis, panas api neraka melebihi 70 kali ganda kepanasan dan tahap kebakaran api di dunia.

Bayangkan kalau Allah percikkan satu asap api neraka apalah agaknya berlaku kepada kita? Ya Allah selamatkanlah kami semua. Kita semua melakukan dosa. Apalagi penulis yang sangat banyak silap dalam hidup ini, sudah banyak kali kita berjanji hendak tinggalkan dosa, tetapi yang berlaku hanya beberapa hari, bulan atau tahun.

Bagi mereka yang diberi sedikit kekuatan kemudian mengulangi lagi, mengulang dan mengulang, malah makin berselera selepas berpantang. Yang jahil biasa bergurau kasar dengan kata “ Aku buat dosa sebab Allah sudah takdirkan aku macam ni nak buat macam mana lagi”. Ada pula yang berkata, “ kita buat dosa tidak apa, tetapi kita jangan lupa buat baik banyak-banyak nanti kebaikan akan dapat menghapus dosa kita”.

Pernah berlaku pada zaman Saidina Umar, seorang lelaki mencuri dan apabila diadili didapati dia bersalah dan dihukum potong tangan. Dia kemudian membela diri dengan berkata, “Aku ini (mencuri) kerana Allah yang sudah tentukan”. Kemudian Saidina Umar menyatakan hukuman kepada lelaki ini di samping potong tangan dia juga kena sebat 40 rotan, sahabat hairan kenapa ditambah hukuman terhadapnya?

Umar berkata hukumsn sebat 40 rotan itu ditamabah kerana menyalahkan dan membuat tuduhan palsu terhadap Allah. Sebenarnya syurga disediakan untuk mereka yang berjaya, dan orang yang berjaya ialah orang yang mampu mengalahkan nafsu dan mengatsi ujian hidup. Dosa laksana soalan hidup yang kita kena jawab. Jawapan pula kena ikut skrip al-Quran dan hadis, manakala pemeriksaan amalan di akhirat nanti ialah Allah Yang Maha Adil.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud. “Dialah yang takdirkan adanya mati dan hidup ( kamu ) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Kuasa ( membalas amal kamu ), lagi Maha Pengampun, ( bagi orang-orang yang bertaubat )” (Surah Al-Mulk ayat 2)

Kalau ada yang kata.” Aku sudah banyak pahala tak apalah buat dosa sekali sekala”,memang bohong, bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua. Hatta ada manusia terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan. Mungkin benar kita sudah buat baik dan pahala, tetapi yang patut juga kita Tanya adakah kebaikan yang kita buat itu diterima Allah?

Sebab kalau sudah memang kebaikan yang kita buat tentu hati kita sudah terisi dengan makruf dan hati kalau sudah terisi dengan kebaikan bagaimana pula mungkar boleh masuk? Tulisan ini bukan ingin menuduh sesiapa, tetapi mahu mengajak kita sama-sama bermuhasabah berkenaan waktu terluang dan peluang yang sangat banyak untuk kita lakukan ketaatan. Benarlah firman Allah yang bermaksud .” Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar.” ( Surah Al-‘Asr ayat 1-3 ).

Ada banyak cara untuk kita hindari dosa dan maksiat di kesempatan terbatas ini marilah kita berprinsip, bermati-matian untuk menjauhi dosa. Selama ini kita banyak bermain-main dalam menjauhi dosa dan maksiat, banyak main dalam beribadat dan taat kepada perintah Allah. Bermati-matianlah dalam bersolat, bermati-matian dalam berdakwah, bermati-matianlah dalam berzikir dan bermati-matianlah dalam mencari cinta Allah serta mengamalkan sunnah Rasul.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: