SRIKANDI HELWI KE MIHRAB GAZA : EKORAN ISU BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA (FREEDOM FLOTILLA)

SRIKANDI HELWI KE MIHRAB GAZA :

EKORAN ISU BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA (FREEDOM FLOTILLA)

 

 

Dalam kesibukan menghadapi peperiksaan yang berlangsung sejak awal Mei lepas, dalam masa yang sama kami pelajar-pelajar turut terkesan dengan berita tentang rombongan keamanan iaitu Gaza Freedom Flotila yang bertolak dari Turki melalui Lautan Cyprus dan berlabuh di perairan antarabangsa dengan menaiki kapal Mavi Marmara. Bagaimana seluruh dunia begitu tersentak terhadap serangan biadap Israel terhadap rombongan tersebut, kami atas platform Lajnah Penerangan Dewan Helwi dengan rasa kebersamaan dan terpanggil untuk berkongsi rasa dan mendapatkan maklumat secara terus daripada Ketua Muslimat Hamas, Ummu Muhammad (isteri syuhada Palestin, Izzuddin) di pejabat rasmi Maktabah Hamas yang terletak di Syari’ 13, Suq Sayyarat, Hayyut Taqaddum. Pertemuan diatur pada 10 Jun 2010 pada pukul 10.00 pagi. Ikuti wawancara kami.

 Wartawan Itqan : Bagaimanakah kehidupan rakyat Gaza setelah serangan ke atas Gaza dilancarkan oleh Israel pada tahun lepas?

Ummu Ahmad : Sebelum dan selepas serangan saya sendiri berada di Gaza bersama anak-anak menyaksikan kejadian yang menyayat hati itu. Apabila  serangan dilancarkan kami sangat terkejut kerana ia adalah serangan mendadak dan tiada siapa yang menggambarkan dan menjangkakan serangan begitu dahsyat dilancarkan oleh rejim Israel. Namun, dalam kekalutan dan ketakutan, Allah campakkan ke dalam hati kami kesabaran dan inilah satu anugerah yang Allah berikan kepada kami untuk menghadapi semua ujian ini dan saya sentiasa berdoa agar hari itu tidak berulang lagi kerana ia adalah fatrah yang cukup pedih untuk kami tempuhi lebih-lebih lagi kematian berlaku di hadapan mata kami, kehilangan orang yang dikasihi, seorang ibu yang kehilangan anak dan kematian suami. Dan begitu juga apabila kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel. Saya sendiri terpaksa meninggalkan rumah disebabkan bahaya dan saya sangat memerlukan bantuan kerana masa itu suami saya tidak bersama saya. Alhamdulillah, kami telah berkumpul dalam sebuah rumah dengan empat buah keluarga yang saling membantu, menolong dan berkasih-sayang.

Selepas serangan hari pertama, wajah Gaza bertukar umpama hari qiamat. Segalanya telah hancur dan dimusnahkan rejim Israel, jalan-jalan raya rosak, rumah dan bangunan-bangunan dimusnahkan, hospital yang sepatutnya menjadi tempat tumpuan orang yang cedera dan syahid kesemuanya terbakar. Rejim Israel telah menyerang orang awam, menumbangkan pokok-pokok dengan kereta kebal lantas membuat jalan mereka sendiri dan tidak melalui jalan raya yang sedia ada. Pokok-pokok tumbang kelihatan seperti peristiwa Tsunami, memusnahkan rumah-rumah dan bagunan-bangunan. Masjid-masjid turut menjadi tumpuan serangan mereka dan azan tidak berkumandang. Begitu juga serangan ke atas kubur sepertinya, “orang-orang yang mati mendapat Syahid selepas kematian mereka”. Sekolah-sekolah yang menjadi markaz bantuan, tempat perlindungan dan sebagai tempat gudang bahan makanan turut diserang. Empat buah universiti Islam, Sains dan Komputer yang berperanan menyebarkan Islam menanamkan semangat jihad kepada pemuda pemudi Palestin turut menjadi tumpuan serangan rejim Zionis dengan serangan yang paling teruk.

Semasa perang, bekalan elektrik terputus selama 23 hari sehingga makanan-makanan yang terdapat di dalam peti sejuk semuanya rosak. Keadaan menjadi gelap-gelita, rasa gerun dan ketakutan bukan sahaja dirasai oleh kanak-kanak bahkan turut dirasai oleh golongan dewasa. Selain itu, bekalan makanan juga terputus dan kami tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan begitu juga bekalan air. Dalam keadaan yang sangat getir itu dengan berselang-seli bunyi letupan dan peluru yang tidak berapa jauh dari kediaman kami lebih kurang jaraknya hanya setengah meter. Terdapat remaja yang trauma sehingga tidak makan, tidak minum dan tidak boleh tidur.

 

Ummu Ahmad bersama anak-anaknya menyaksikan sendiri kekejaman Israel semasa serangan ke atas Gaza dilancarkan

 Wartawan Itqan: Mengapakah rejim Israel membuat serangan yang lebih dahsyat ke atas Gaza berbanding tempat-tempat lain di Palestin?

Ummu Ahmad: Di Gaza, terdapat empat buah Jamiah Islamiah. Sekiranya kita nak bandingkan dengan Syria, Gaza lebih banyak universiti. Gaza merupakan pusat dan kubu Hamas juga merupakan tempat berlidungnya kerajaan kepimpinan Ismail Haniyeh yang digulingkan yahudi. Jadi, segalanya berpunca daripada puak Yahudi yang tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan Islam dan ingin membawa fahaman-fahaman sekular ke Gaza terhadap rakyat serta ingin menghancurkan kepimpinan Islam yang ada sekarang tetapi Yahudi tetap gagal. Walaupun kami berada dalam kongkongan Yahudi, anak-anak kami tetap pergi ke sekolah, bagi yang belajar di Jamiah tetap meneruskan pengajian. Para guru dan pensyarah tetap datang memberi pengajian. Kami tidak berhenti dan menutup sekolah malah kehidupan kami berjalan seperti biasa walaupun ditekan. Sepanjang peperangan alhamdulillah rakyat Gaza telah melahirkan para huffazul Quran seramai 15 000 orang. Alhamdulillah hikmahnya dengan ketiadaan elektrik, anak-anak kami banyak menghabiskan masa dengan menyibukkan diri dengan membaca al-quran, qiamullail, zikir, solat dan pelbagai aktiviti ruhiah. Kami bersyukur kerana anak-anak kami tidak dilalaikan dengan rancangan televisyen dan internet sehingga kanak-kanak yang sedang berjalan pun tetap tasmik al-quran bersama teman-teman mereka.

 

Wartawan Itqan sedang khusyuk mendengar penerangan yang diberikan

 Wartawan Itqan: Bagaimanakah perasaan ahli Gaza dan rakyat Palestin umumnya apabila mendengar berita tentang konvoi bantuan kemanusiaan dari pelbagai negara dengan kapal Mavi Marmara melalui jalan laut?

Ummu Muhammad : Saya mengetahui konvoi ini sebulan sebelum perjalanan mereka dari Turki. Saya sendiri dijemput ke Malaysia di Shah Alam, Selangor dan beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur. Apa yang hendak saya katakan, penyertaan dalam konvoi ini, mereka adalah orang-orang yang benar-benar mencintai Islam. Para syuhada yang ada di dalamnya adalah orang-orang yang terpilih. Begitu juga orang-orang yang menyokong dan mendokong Hamas adalah orang yang mencintai Islam. Perasaan kami merasa sangat gembira ibarat kanak-kanak yang menanti kepulangan ayah membawa hadiah atau buah tangan. Kami melihat sendiri barang-barang yang ada di dalam kapal itu. Antaranya, kerusi untuk orang tua, permainan kanak-kanak, peralatan sekolah, bahan binaan, pakaian, paralatan perubatan dan banyak lagi. Namun semuanya telah dirampas oleh rejim Yahudi. Ini jelas menunjukkan kelakuan biadap Yahudi terhadap konvoi kemanusiaan yang berada di perairan antarabangsa kerana seluruh dunia tahu bahawa tidak ada sebarang senjata bersama mereka di dalam kapal itu. Dan kami sebagai rakyat Palestin merasa terharu terhadap sokongan dari negara-negara luar. Kami berasa kuat kerana Allah membuka hati-hati yang mahu menolong kami. Mereka sanggup bertungkus-lumus untuk datang ke Gaza walaupun banyak ujian disebabkan oleh rabitah ukhwah Islamiah. Malah, konvoi ini bukan sahaja turut disertai oleh orang Islam bahkan termasuk juga orang bukan Islam atas dasar bantuan kemanusiaan.

Wartawan Itqan : Apakah peranan OIC dan PBB?

Ummu Ahmad: Kami langsung tidak mengharap apa-apa daripada mereka. Mereka semua sekutu Yahudi laknatullah begitu juga Amerika. Bukti sangat jelas. Apa sahaja yang dibuat oleh Yahudi, Amerika akan menyokong 100%. Kami hanya mengharap pertolongan dan tawakkal kepada Allah SWT dan umat Islam yang benar-benar ikhlas membantu kami. Yang demikian itu semua menjadi inspirasi kami untuk lebih kuat dan bersemangat. Semua negara jiran kami menutup sempadan dan meninggalkan Gaza bersendirian. Kami hanya berharap pertolongan Allah SWT. Orang yang ingin mempertahankan tanah suci umat Islam ini bukan kerana bangsa (Arab) tetapi kerana satu aqidah dan tanggungjawab bersama. Kekuatan hakiki bukan pada senjata semata-mata tetapi kekuatan iman dan taqwa. Alhamdulilah, walaupun kami tidak mempunyai senjata secanggih rejim Israel tetapi dengan berkat pertolongan Allah SWT, tentera Hamas dapat menghancurkan beberapa buah kereta kebal Yahudi.

Wartawan Itqan: Pihak kami mendengar bahawa sempadan Mesir-Gaza telah dibuka. Adakah ia benar?

Ummu Ahmad : Ia memang dibuka, tetapi bukan semua orang boleh keluar masuk dan ada waktu-waktu tertentu sahaja. Dan seluruh jalan di sekeliling Gaza ditutup oleh Israel bukan sahaja darat bahkan laut juga ditutup oleh Israel. Nelayan-nelayan Gaza dihadkan kawasan untuk menangkap ikan dan tidak dibenarkan pergi menangkap ikan di laut dalam. Sekiranya ada nelayan ke laut dalam mereka akan dibunuh serta-merta oleh Yahudi sedangkan untuk mendapatkan ikan adalah di kawasan laut dalam. Yahudi tidak mahu rakyat Gaza keluar daripada Gaza bahkan Yahudi mahu ahli Gaza mati kelaparan dan kebuluran. Semua negara jiran menutup sempadan. Sebab itulah dinamakan inqita’ul gazzah. Walaupun Yahudi menutup semua kawasan Gaza kami telah memperolehi makanan melalui terowong bawah tanah.

 Ummu Muhammed (kiri) sewaktu menerangkan tentang ‘Inqita’ul Ghazzah’

Wartawan Itqan: Kenapa Turki adalah satu-satunya negara yang berani melancarkan konvoi secara terang-terangan berbanding negara-negara Arab yang mandul?

Ummu Ahmad: Semua ini kehendak Allah SWT. Kami juga tidak menyangka sebegini rupa kerana kita sedia maklum bahawa kerajaan Erdogen  serta tentera-tenteranya adalah sekular. Ini semua kurniaan Allah SWT yang membuka pintu-pintu hati orang yang ingin membuat amal soleh walaupun banyak ujian.

Wartawan Itqan: Apakah harapan kalian sebagai ahli Gaza terhadap muslim sedunia mengenai isu Palestin ini?

Ummu Ahmad: Kami berharap supaya seluruh umat Islam di dunia ini wajib mengambil tahu isu Palestin. Di sinilah letaknya Masjidil Aqsa, tempat Nabi Muhammad SAW mikraj, bumi yang diberkati dan terkenal dengan kesuburan tanah pertanian. Isu ini juga adalah isu al-Quran. Sesiapa yang meremehkan isu ini maka ia meremehkan al-Quran. Jadi, marilah sama-sama kita menjaga bumi yang diberkati ini dengan pelbagai cara dan kemampuan masing-masing. Pertolongan Allah itu sudah dekat.

Wartawan Itqan: Terima kasih kerana sudi memberi peluang serta kerjasama yang cemerlang di atas segala maklumat tersebut. Semoga Allah memberi pertolongan dan kesabaran kepada hamba-hambaNya yang membantu menegakkan agamanya.

Ummu Ahmad: Sama-sama dan terima kasih juga kerana sudi menziarahi kami. Semoga jasa kamu semua dibalas oleh Allah SWT.

Dari kiri : Abidatul, Latifah, Mukarramah, Ummu Muhammad (Izzuddin), Ummu Muhammad, Khairul Bariah dan Ikrimah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: