Makluman

Blog ini telah berpindah alamat Ke : http://www.khairdimasyqi.blog.com

Advertisements

Syeikh al-Qaradawi seru Mubarak lepas jawatan

Harakahdaily

 

Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan.

Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir.Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, “Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir”.

Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya.

Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan serta meninggalkan Mesir yang sudah kerugian dan kehilangan wangberbilion-bilion.

“Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak”.

Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, “Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup.”

Al-Qaradawi menambah, “Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki”, untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, “yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim”, di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya “bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. ”

Syeikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi.

Dia berada “dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka,” dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera

Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes PENCURIAN ATAU PENJARAHAN.

Beliau menasihati mereka, “Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah HARAM.”

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan.

Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera.

Hukum Wanita Menyertai Pilihanraya Dan Menjadi Calon Dalam Majlis Perwakilan & Kementerian Ekoran Calon PAS Pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman

 

Saya yakin pengundi mampu dan berani membuat anjakan paradigma dan sebenarnya pencalonan  ini satu pengiktirafan yang diberikan kepada golongan wanita khususnya dan mewakili seluruh golongan pendidik di Malaysia.

 

Persoalan : Adakah Islam membenarkan wanita menyertai pilihanraya  dan menjadi calon untuk majlis perwakilan dan kementerian?

Jawapan : Sesungguhnya Islam telah memberikan persamaan antara lelaki dan perempuan pada hak-hak, kewajipan, mengikut tabiat dan fitrah masing-masing. Islam telah memberikan hak secara penuh kepada wanita untuk mengangkat martabatnya, dan menjadikan sesuatu yang berharga dan dikira apa sahaja bentuk keterlibatan ini di dalam masyarakat adalah disyariatkan. Dibenarkan semua hak ini secara penuh selama mana bersesuaian dengan tabia’t dan fitrah seorang wanita.

 

Apabila kita menyentuh tentang hak bersiasah ( politik ) maka perbahasaannya sangat luas iaitu menyentuh tentang hak menyertai PR dan  menjadi calon, menjadi petugas dari sudut syarak tidak melarang melainkan menjadi Perdana Menteri ( Presiden ) maka tidak dibenarkan wanita menjadi ketua Negara kerana kuasa Imam bagi orang-orang Islam di dalam solat tidak lain dan tidak bukan hanya lelaki.

 

Dibenarkan bagi wanita menjadi calon PR untuk menganggotai Majlis Syura, dan Majlis perwakilan selama mana ia mampu mengurus dengan baik di antara kerja, hak suami, anak-anak dan sesiapa sahaja yang berhak ke atasnya jika ada. Wajiblah ia menepati hukum dan akhlak Islamiah ketika menunaikan tangunggjawab dan kebenaran ini dari sudut syarak adalah mengambil kira sebagai Mashlahah Ammah ( kepentingan masyarakat umum).

 

Asal hak ini, daripada baia’h yang dibuat oleh wanita dihadapan Rasulullah saw untuk membantu agama sebagaimana telah dirakamkan di dalam al-Quran yang bermaksud

12. Wahai Nabi! apabila orang-orang perempuan Yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, Bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah Dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta Yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu Dalam sesuatu perkara Yang baik, – maka Terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ( Al-Mumtahanah : 12 )

 

Demikian juga, Telah bermesyuarat Rasulullah saw bersama isterinya Ummu Salamah pada peristiwa perdamaian hudaibiyyah yang mana terdapat di dalam perjanjian itu butir-butir yang tidak dipersetujui dan dirasakan berat sebelah oleh para sahabat tetapi dipersetujui oleh Rasullullah saw. Nabi telah bersetuju supaya umrah tidak diadakan pada tahun itu, tetapi akan diadakan pada tahun yang berikutnya. Oleh itu, Rasullullah saw memerintahkan supaya masing-masing menyembelih dam masing-masing. Tiada siapa yang mahu melaksanakan perintah Rasulullah saw walaupun berkali-kali diperintah oleh baginda. Lalu Rasullullah saw menceritakan kepada Ummu Salamah. Ummu Salamah yang bijak dan berpandangan jauh memberitahu Rasullullah saw bahawa cara penyelesaiannya ialah Rasulullah saw sendiri keluar dan jangan bercakap dengan sesiapa jua, menyembelih damnya dan terus bercukur. Rasullullah saw menerima cadangan ini dengan baik dan setelah cadangan ini dilaksanakan semua sahabat mengikut perbuatan baginda dan selesailah masalah yang dihadapi.

 

Dan asal wanita mempunyai hak dalam politik  sebagaimana kita telah melihat peranan Ummul Mu’minin A’isyah yang menjadi orang tengah dan pendamai di antara Saidina A’li Karramallahu wajhah dan Mua’wiyah bin Abi Sufian maka A’isyah telah masuk dan memberitahu pendapatnya terhadap perselisihan yang berlaku dan A’isyah sendiri yang pergi untuk mendamaikan keduanya.

 

 

 Calon PAS Pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman

 

  Kesimpulan

  1. Dibenarkan wanita bermasyarakat dan berpolitik selagimana ia menjaga adab syariah dan tidak cuai dalam menunaikan hak di rumah dan keluarganya sebagaimana firman  Allah.

    

71. Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( At-taubah : 71 )

 

        2. Mestilah bersesuaian dengan tabiat dan fitrah seorang wanita, adapun menjadi ketua negara tidak dibenarkan sama sekali jumhur ulamak.

 Dalam masalah wanita menjadi Qodi maka jumhur fuqaha mensyaratkan ke atas lelaki  sebagaimana firmanNya ;

. Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal Yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. dan perempuan-perempuan Yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan Yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar. ( An-Nisa : 34 )

 

Dan pada pandangan Imam Abu Hanifah, dibenarkan wanita menjadi Qodi  kerana sah penyaksian wanita, dan Qodi dibina di atas penyaksian dan syarat-syaratnya.

Disebut oleh ibn Jarir At-tobari tidak disyaratkan lelaki untuk menjadi kerana dibenarkan wanita menjadi mufti maka dibolehkan ia menjadi Qodi.

 

Oleh itu, tindakan PAS menghantar wakil muslimat/ wanita langsung tidak bersalahan dengan syarak malah wanita sangat diperlukan pada masakini untuk kehadapan terutama dalam mengenadalikan isu-isu yang berkaitan dengan wanita dan memimpin wanita itu sendiri. Berpegang pendapat bahawa wanita hanya di dapur dan menjaga suami dan anak sahaja tidak terlibat dengan pembagunan masyarakat adalah fahaman yang perlu dibuang oleh wanita hari ini.

PPMS PERLU CIPTA “ GELOMBANG ”

 

Sudah lama agaknya jari – jemari ini tidak mencoretkan kalimah-kalimah sebagai perkongsian bersama sahabat-sahabat sekalian. Namun saya tetap bersyukur kerana masih diberi kesemptan untuk menitipkan buah fikiran yang mungkin menjadi persoalan dan kurang senang kepada sebahagian sahabat-sahabat..

 

Mungkin agak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah dan takziah kepada barisan exco PPMS sesi 2010/2011 atas amanah Allah

sebagaimana firmanNya yang bermaksud

72. Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan. ( al-ahzab : 72 )


Marilah kita amati dan insafi dengan rasa ketaqwaan kepada Allah SWT akan berat dan beban amanah  yang akan dihadapkan di mahkamah Allah di akhirat kelak. Saya berdoa dan berharap agar Allah memberikan kekuatan, ketabahan dan keikhlasan terhadap tampuk kepimpinan PPMS pada sesi ini..

 

TERCETUS

Semasa sedang asyik menaip sebuh artikel, tiba-tiba saya didatangi seorang ahli bait yang sempat mencuri lihat tajuk artikel saya dan menyapa sambil melontarkan persoalan ringkas, “gelombang tu apa kak?” Saya berfikir sejenak, apakah agaknya yang difikirkan..

 

Spontan saya membalas. “Cuba lihat tangisan bayi yang baru lahir yang mampu memadam kesakitan ibu bersalin..itulah gelombang..”

“Dari mata jatuh ke hati, itu gelombang..”

Jeda (terhenti seketika). Kemudian, saya menyambung lagi.

“Kejatuhan rejim Shah Iran jatuh kerana gelombang mahasiswa..”

“Untuk abad ini, buat kali pertama golongan bukan Islam secara terbuka menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Mavi Marmara semata-mata ingin membantu rakyat Palestin yang majoritinya orang Islam..semuanya kerana gelombang..”

Kali ini dia mengangguk tanda setuju dan faham terhadap apa yang saya jelaskan..

 

Ketika balik dari rumah PPMS ( Persatuan Pelajar Malaysia Syria )


ألا أدلكم على شئ إن فعلتموه تحاببتم أفشوا السلام بينكم

 

Adakah kamu suka aku tunjukkan kepada kamu satu amalan , jika kamu lakukan akan mengeratkan lagi kasih sayang antara kamu ? sampaikan salam antara kamu .

 

Tak terlintas difikiran saya bagaimana gelombang salam mampu mengeratkan kasih sayang, ketika sedang balik dari rumah PPMS selesai program Induksi Nuqaba di Mujtahid yang agak tidak berapa jauh dari rumah saya di solah Zahabiah teringat akan hadith Rasulullah SAW lalu saya ucapkan salam dengan seorang mak cik (Arab) yang kebetulan  berselisih dengan saya, tiba-tiba dia memberhentikan langkahnya lalu menoleh ke belakang,sambil bertanya..

 

عرفتنى ؟

Adakah kamu kenal saya.

Jawab saya,لا ولكن قال رسول الله صلى الله عليه والسلم افشوا السلام بينكم

Tidak, akan tetapi Rasulullah SAW berpesan, sebarkan salam antara kamu..

 

Lalu dia menghulurkan tangan dan bertanya prihal saya dengan panjang lebar. Sebelum berpisah dia sempat memberikan seikat Pisang dan duit 1000Ls (RM80) sebagai tanda ikram kepada tetamu, lebih-lebih lagi berstatus pelajar Syariah, begitulah kemurahan hati kebanyakan ahlu syam..

 

Saya benar-benar terharu, begitu kuatnya gelombang salam dalam memaut hati dan jiwa-jiwa, mengikat kasih sayang, mengeratkan silaturrahim, mencipta kepercayaan  juga doa sesama muslim kesejahteraan keatas saudaranya melalui ungkapan mudah yang cukup memberi makna dihati sesama muslim..

 

Begitulah juga yang saya harapkan dari pimpinan dan ahli-ahli yang menyokong PPMS  agar dapat mencipta satu gelombang supaya menjadi sebuah persatuan yang paling diingati dan disayangi, seterusnya menafikan anasir-anasir yang mengatakan PPMS tidak mendapat sokongan ahli. Sesuai dengan tema pada sesi ini “ membina kebersamaan menjana kesatuan” dan lebih-lebih lagi PPMS sudah menjangkau usia 25 tahun, sudah pasti usia jubli Perak ini lebih membuatkan PPMS lebih matang.

 

Saya puji persatuan PMRAM di Mesir, yang berusaha bertungkus lumus dalam menjadikan PMRAM sebagai sebuah persatuan yang paling diingati melalui progam hari memperingati PMRAM, sudah tentu program sebegini mengimpakkan ahli lebih menghargai PMRAM.

Bagaimanana mencipta gelombang?

Banyak cara yang boleh dilakukan oleh PPMS untuk mencipta gelombang, bagaimana? Itu semua terpulang kepada PPMS kerana lebih memahami karenah dan tabiat ahli, mugkin juga PPMS boleh berkongsi pandangan dan pendapat dengan persatuan-persatuan yang berada di Timur Tengah dalam soal ini, kerana saya yakin kita juga mahu melakukan perkara yang sama cuma pendekatan dan uslub yang berbeza. Akhir sekali saya mendoakan agar PPMS pada tahun ini terus maju kehadapan dan diberikan thabat dalam perjuangan..amin

IKRAR JAUHI MAKSIAT BERSUNGGUH-SUNGGUH

Datuk Mohd Zawawi Yusoh

 Buat dosa memang seronok, lihatlah sendiri bagaimana riuh dan heboh golongan yang mengunjungi konsert liar di tepi pantai, dataran, pusat beli-belah dan kelab malam. Tidak kurang juga yang melakukan maksiat di rumah sendiri iaitu dengan menonton televisyen, radio, Internet, SMS, MMS, sumbang mahram dan sebagainya.

Majlis ilmu di Masjid tidak diikuti, kitab suci al-Quran tidak dibuka dan dibaca, tetapi peribadi dan akhlak semakin jauh daripada landasan sebenar. Beberapa bulan lalu, di Indonesia berlakunya letupan gunung berapi. Lihat saja bagaimana penduduknya bertempiaran lari kerana takut kepada lava panas yang keluar daripada Gunung Merapi.

Malah, ada yang tidak sempat melarikan diri, terkorban dengan kesan yang sangat yang menyanyat hati apabila mendapat kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat terkena debu panas. Panasnya lava tidak sama dengan kepanasan api neraka. Sebagaimana disebut dalam hadis, panas api neraka melebihi 70 kali ganda kepanasan dan tahap kebakaran api di dunia.

Bayangkan kalau Allah percikkan satu asap api neraka apalah agaknya berlaku kepada kita? Ya Allah selamatkanlah kami semua. Kita semua melakukan dosa. Apalagi penulis yang sangat banyak silap dalam hidup ini, sudah banyak kali kita berjanji hendak tinggalkan dosa, tetapi yang berlaku hanya beberapa hari, bulan atau tahun.

Bagi mereka yang diberi sedikit kekuatan kemudian mengulangi lagi, mengulang dan mengulang, malah makin berselera selepas berpantang. Yang jahil biasa bergurau kasar dengan kata “ Aku buat dosa sebab Allah sudah takdirkan aku macam ni nak buat macam mana lagi”. Ada pula yang berkata, “ kita buat dosa tidak apa, tetapi kita jangan lupa buat baik banyak-banyak nanti kebaikan akan dapat menghapus dosa kita”.

Pernah berlaku pada zaman Saidina Umar, seorang lelaki mencuri dan apabila diadili didapati dia bersalah dan dihukum potong tangan. Dia kemudian membela diri dengan berkata, “Aku ini (mencuri) kerana Allah yang sudah tentukan”. Kemudian Saidina Umar menyatakan hukuman kepada lelaki ini di samping potong tangan dia juga kena sebat 40 rotan, sahabat hairan kenapa ditambah hukuman terhadapnya?

Umar berkata hukumsn sebat 40 rotan itu ditamabah kerana menyalahkan dan membuat tuduhan palsu terhadap Allah. Sebenarnya syurga disediakan untuk mereka yang berjaya, dan orang yang berjaya ialah orang yang mampu mengalahkan nafsu dan mengatsi ujian hidup. Dosa laksana soalan hidup yang kita kena jawab. Jawapan pula kena ikut skrip al-Quran dan hadis, manakala pemeriksaan amalan di akhirat nanti ialah Allah Yang Maha Adil.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud. “Dialah yang takdirkan adanya mati dan hidup ( kamu ) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Kuasa ( membalas amal kamu ), lagi Maha Pengampun, ( bagi orang-orang yang bertaubat )” (Surah Al-Mulk ayat 2)

Kalau ada yang kata.” Aku sudah banyak pahala tak apalah buat dosa sekali sekala”,memang bohong, bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua. Hatta ada manusia terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan. Mungkin benar kita sudah buat baik dan pahala, tetapi yang patut juga kita Tanya adakah kebaikan yang kita buat itu diterima Allah?

Sebab kalau sudah memang kebaikan yang kita buat tentu hati kita sudah terisi dengan makruf dan hati kalau sudah terisi dengan kebaikan bagaimana pula mungkar boleh masuk? Tulisan ini bukan ingin menuduh sesiapa, tetapi mahu mengajak kita sama-sama bermuhasabah berkenaan waktu terluang dan peluang yang sangat banyak untuk kita lakukan ketaatan. Benarlah firman Allah yang bermaksud .” Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar.” ( Surah Al-‘Asr ayat 1-3 ).

Ada banyak cara untuk kita hindari dosa dan maksiat di kesempatan terbatas ini marilah kita berprinsip, bermati-matian untuk menjauhi dosa. Selama ini kita banyak bermain-main dalam menjauhi dosa dan maksiat, banyak main dalam beribadat dan taat kepada perintah Allah. Bermati-matianlah dalam bersolat, bermati-matian dalam berdakwah, bermati-matianlah dalam berzikir dan bermati-matianlah dalam mencari cinta Allah serta mengamalkan sunnah Rasul.

SRIKANDI HELWI KE MIHRAB GAZA : EKORAN ISU BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA (FREEDOM FLOTILLA)

SRIKANDI HELWI KE MIHRAB GAZA :

EKORAN ISU BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA (FREEDOM FLOTILLA)

 

 

Dalam kesibukan menghadapi peperiksaan yang berlangsung sejak awal Mei lepas, dalam masa yang sama kami pelajar-pelajar turut terkesan dengan berita tentang rombongan keamanan iaitu Gaza Freedom Flotila yang bertolak dari Turki melalui Lautan Cyprus dan berlabuh di perairan antarabangsa dengan menaiki kapal Mavi Marmara. Bagaimana seluruh dunia begitu tersentak terhadap serangan biadap Israel terhadap rombongan tersebut, kami atas platform Lajnah Penerangan Dewan Helwi dengan rasa kebersamaan dan terpanggil untuk berkongsi rasa dan mendapatkan maklumat secara terus daripada Ketua Muslimat Hamas, Ummu Muhammad (isteri syuhada Palestin, Izzuddin) di pejabat rasmi Maktabah Hamas yang terletak di Syari’ 13, Suq Sayyarat, Hayyut Taqaddum. Pertemuan diatur pada 10 Jun 2010 pada pukul 10.00 pagi. Ikuti wawancara kami.

 Wartawan Itqan : Bagaimanakah kehidupan rakyat Gaza setelah serangan ke atas Gaza dilancarkan oleh Israel pada tahun lepas?

Ummu Ahmad : Sebelum dan selepas serangan saya sendiri berada di Gaza bersama anak-anak menyaksikan kejadian yang menyayat hati itu. Apabila  serangan dilancarkan kami sangat terkejut kerana ia adalah serangan mendadak dan tiada siapa yang menggambarkan dan menjangkakan serangan begitu dahsyat dilancarkan oleh rejim Israel. Namun, dalam kekalutan dan ketakutan, Allah campakkan ke dalam hati kami kesabaran dan inilah satu anugerah yang Allah berikan kepada kami untuk menghadapi semua ujian ini dan saya sentiasa berdoa agar hari itu tidak berulang lagi kerana ia adalah fatrah yang cukup pedih untuk kami tempuhi lebih-lebih lagi kematian berlaku di hadapan mata kami, kehilangan orang yang dikasihi, seorang ibu yang kehilangan anak dan kematian suami. Dan begitu juga apabila kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel. Saya sendiri terpaksa meninggalkan rumah disebabkan bahaya dan saya sangat memerlukan bantuan kerana masa itu suami saya tidak bersama saya. Alhamdulillah, kami telah berkumpul dalam sebuah rumah dengan empat buah keluarga yang saling membantu, menolong dan berkasih-sayang.

Selepas serangan hari pertama, wajah Gaza bertukar umpama hari qiamat. Segalanya telah hancur dan dimusnahkan rejim Israel, jalan-jalan raya rosak, rumah dan bangunan-bangunan dimusnahkan, hospital yang sepatutnya menjadi tempat tumpuan orang yang cedera dan syahid kesemuanya terbakar. Rejim Israel telah menyerang orang awam, menumbangkan pokok-pokok dengan kereta kebal lantas membuat jalan mereka sendiri dan tidak melalui jalan raya yang sedia ada. Pokok-pokok tumbang kelihatan seperti peristiwa Tsunami, memusnahkan rumah-rumah dan bagunan-bangunan. Masjid-masjid turut menjadi tumpuan serangan mereka dan azan tidak berkumandang. Begitu juga serangan ke atas kubur sepertinya, “orang-orang yang mati mendapat Syahid selepas kematian mereka”. Sekolah-sekolah yang menjadi markaz bantuan, tempat perlindungan dan sebagai tempat gudang bahan makanan turut diserang. Empat buah universiti Islam, Sains dan Komputer yang berperanan menyebarkan Islam menanamkan semangat jihad kepada pemuda pemudi Palestin turut menjadi tumpuan serangan rejim Zionis dengan serangan yang paling teruk.

Semasa perang, bekalan elektrik terputus selama 23 hari sehingga makanan-makanan yang terdapat di dalam peti sejuk semuanya rosak. Keadaan menjadi gelap-gelita, rasa gerun dan ketakutan bukan sahaja dirasai oleh kanak-kanak bahkan turut dirasai oleh golongan dewasa. Selain itu, bekalan makanan juga terputus dan kami tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan begitu juga bekalan air. Dalam keadaan yang sangat getir itu dengan berselang-seli bunyi letupan dan peluru yang tidak berapa jauh dari kediaman kami lebih kurang jaraknya hanya setengah meter. Terdapat remaja yang trauma sehingga tidak makan, tidak minum dan tidak boleh tidur.

 

Ummu Ahmad bersama anak-anaknya menyaksikan sendiri kekejaman Israel semasa serangan ke atas Gaza dilancarkan

 Wartawan Itqan: Mengapakah rejim Israel membuat serangan yang lebih dahsyat ke atas Gaza berbanding tempat-tempat lain di Palestin?

Ummu Ahmad: Di Gaza, terdapat empat buah Jamiah Islamiah. Sekiranya kita nak bandingkan dengan Syria, Gaza lebih banyak universiti. Gaza merupakan pusat dan kubu Hamas juga merupakan tempat berlidungnya kerajaan kepimpinan Ismail Haniyeh yang digulingkan yahudi. Jadi, segalanya berpunca daripada puak Yahudi yang tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan Islam dan ingin membawa fahaman-fahaman sekular ke Gaza terhadap rakyat serta ingin menghancurkan kepimpinan Islam yang ada sekarang tetapi Yahudi tetap gagal. Walaupun kami berada dalam kongkongan Yahudi, anak-anak kami tetap pergi ke sekolah, bagi yang belajar di Jamiah tetap meneruskan pengajian. Para guru dan pensyarah tetap datang memberi pengajian. Kami tidak berhenti dan menutup sekolah malah kehidupan kami berjalan seperti biasa walaupun ditekan. Sepanjang peperangan alhamdulillah rakyat Gaza telah melahirkan para huffazul Quran seramai 15 000 orang. Alhamdulillah hikmahnya dengan ketiadaan elektrik, anak-anak kami banyak menghabiskan masa dengan menyibukkan diri dengan membaca al-quran, qiamullail, zikir, solat dan pelbagai aktiviti ruhiah. Kami bersyukur kerana anak-anak kami tidak dilalaikan dengan rancangan televisyen dan internet sehingga kanak-kanak yang sedang berjalan pun tetap tasmik al-quran bersama teman-teman mereka.

 

Wartawan Itqan sedang khusyuk mendengar penerangan yang diberikan

 Wartawan Itqan: Bagaimanakah perasaan ahli Gaza dan rakyat Palestin umumnya apabila mendengar berita tentang konvoi bantuan kemanusiaan dari pelbagai negara dengan kapal Mavi Marmara melalui jalan laut?

Ummu Muhammad : Saya mengetahui konvoi ini sebulan sebelum perjalanan mereka dari Turki. Saya sendiri dijemput ke Malaysia di Shah Alam, Selangor dan beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur. Apa yang hendak saya katakan, penyertaan dalam konvoi ini, mereka adalah orang-orang yang benar-benar mencintai Islam. Para syuhada yang ada di dalamnya adalah orang-orang yang terpilih. Begitu juga orang-orang yang menyokong dan mendokong Hamas adalah orang yang mencintai Islam. Perasaan kami merasa sangat gembira ibarat kanak-kanak yang menanti kepulangan ayah membawa hadiah atau buah tangan. Kami melihat sendiri barang-barang yang ada di dalam kapal itu. Antaranya, kerusi untuk orang tua, permainan kanak-kanak, peralatan sekolah, bahan binaan, pakaian, paralatan perubatan dan banyak lagi. Namun semuanya telah dirampas oleh rejim Yahudi. Ini jelas menunjukkan kelakuan biadap Yahudi terhadap konvoi kemanusiaan yang berada di perairan antarabangsa kerana seluruh dunia tahu bahawa tidak ada sebarang senjata bersama mereka di dalam kapal itu. Dan kami sebagai rakyat Palestin merasa terharu terhadap sokongan dari negara-negara luar. Kami berasa kuat kerana Allah membuka hati-hati yang mahu menolong kami. Mereka sanggup bertungkus-lumus untuk datang ke Gaza walaupun banyak ujian disebabkan oleh rabitah ukhwah Islamiah. Malah, konvoi ini bukan sahaja turut disertai oleh orang Islam bahkan termasuk juga orang bukan Islam atas dasar bantuan kemanusiaan.

Wartawan Itqan : Apakah peranan OIC dan PBB?

Ummu Ahmad: Kami langsung tidak mengharap apa-apa daripada mereka. Mereka semua sekutu Yahudi laknatullah begitu juga Amerika. Bukti sangat jelas. Apa sahaja yang dibuat oleh Yahudi, Amerika akan menyokong 100%. Kami hanya mengharap pertolongan dan tawakkal kepada Allah SWT dan umat Islam yang benar-benar ikhlas membantu kami. Yang demikian itu semua menjadi inspirasi kami untuk lebih kuat dan bersemangat. Semua negara jiran kami menutup sempadan dan meninggalkan Gaza bersendirian. Kami hanya berharap pertolongan Allah SWT. Orang yang ingin mempertahankan tanah suci umat Islam ini bukan kerana bangsa (Arab) tetapi kerana satu aqidah dan tanggungjawab bersama. Kekuatan hakiki bukan pada senjata semata-mata tetapi kekuatan iman dan taqwa. Alhamdulilah, walaupun kami tidak mempunyai senjata secanggih rejim Israel tetapi dengan berkat pertolongan Allah SWT, tentera Hamas dapat menghancurkan beberapa buah kereta kebal Yahudi.

Wartawan Itqan: Pihak kami mendengar bahawa sempadan Mesir-Gaza telah dibuka. Adakah ia benar?

Ummu Ahmad : Ia memang dibuka, tetapi bukan semua orang boleh keluar masuk dan ada waktu-waktu tertentu sahaja. Dan seluruh jalan di sekeliling Gaza ditutup oleh Israel bukan sahaja darat bahkan laut juga ditutup oleh Israel. Nelayan-nelayan Gaza dihadkan kawasan untuk menangkap ikan dan tidak dibenarkan pergi menangkap ikan di laut dalam. Sekiranya ada nelayan ke laut dalam mereka akan dibunuh serta-merta oleh Yahudi sedangkan untuk mendapatkan ikan adalah di kawasan laut dalam. Yahudi tidak mahu rakyat Gaza keluar daripada Gaza bahkan Yahudi mahu ahli Gaza mati kelaparan dan kebuluran. Semua negara jiran menutup sempadan. Sebab itulah dinamakan inqita’ul gazzah. Walaupun Yahudi menutup semua kawasan Gaza kami telah memperolehi makanan melalui terowong bawah tanah.

 Ummu Muhammed (kiri) sewaktu menerangkan tentang ‘Inqita’ul Ghazzah’

Wartawan Itqan: Kenapa Turki adalah satu-satunya negara yang berani melancarkan konvoi secara terang-terangan berbanding negara-negara Arab yang mandul?

Ummu Ahmad: Semua ini kehendak Allah SWT. Kami juga tidak menyangka sebegini rupa kerana kita sedia maklum bahawa kerajaan Erdogen  serta tentera-tenteranya adalah sekular. Ini semua kurniaan Allah SWT yang membuka pintu-pintu hati orang yang ingin membuat amal soleh walaupun banyak ujian.

Wartawan Itqan: Apakah harapan kalian sebagai ahli Gaza terhadap muslim sedunia mengenai isu Palestin ini?

Ummu Ahmad: Kami berharap supaya seluruh umat Islam di dunia ini wajib mengambil tahu isu Palestin. Di sinilah letaknya Masjidil Aqsa, tempat Nabi Muhammad SAW mikraj, bumi yang diberkati dan terkenal dengan kesuburan tanah pertanian. Isu ini juga adalah isu al-Quran. Sesiapa yang meremehkan isu ini maka ia meremehkan al-Quran. Jadi, marilah sama-sama kita menjaga bumi yang diberkati ini dengan pelbagai cara dan kemampuan masing-masing. Pertolongan Allah itu sudah dekat.

Wartawan Itqan: Terima kasih kerana sudi memberi peluang serta kerjasama yang cemerlang di atas segala maklumat tersebut. Semoga Allah memberi pertolongan dan kesabaran kepada hamba-hambaNya yang membantu menegakkan agamanya.

Ummu Ahmad: Sama-sama dan terima kasih juga kerana sudi menziarahi kami. Semoga jasa kamu semua dibalas oleh Allah SWT.

Dari kiri : Abidatul, Latifah, Mukarramah, Ummu Muhammad (Izzuddin), Ummu Muhammad, Khairul Bariah dan Ikrimah

TASAWWUR MANHAJ ULAMAK NEGARAWAN SECARA MUKHTASOR

  Contoh Terbaik Ulamak Negarawan

Ramai orang berpendapat, berpersatuan ni merugikan, sambil berkata “daripada aku pegi program persatuan lebih baik aku talaqi” kita lupa dan tak sedar bahawa para masyaikh yang mengajar kitab di hadapan kita tu siapa?? Mungkin kita tak tahu..ok, mari kita tengok dan amati sungguh siapa mereka… sebagai contoh, Syeikh Sariah Rifaei’ merupakan Presiden / rais kepada persatuan Zaid bin Thabit, merupakan pengarah program Haflah Qura Syam, juga merupakan salah seorang Jutawan kat Syria ni..haaaa…jangan main-main..Siapa tak kenal Syeikh Ramadhan Al-Bouti, pengarang kitab Fiqh Sirah dan banyak lagi merupakan penasihat Islamic Bank Syria, Syeikh Wahbah Zuhaili pengarang kitab Fiqh Islami Wa adillatuhu dan Tafsir munir Naib Presiden ii ( The Assembly of Muslim iurits In Amerrica)..ini yang sekarang ,bagaimana pula, dengan ulamak-ulamak Syam yang terdahulu? Syeikh Mustafa Sibaei yang merupakan pemerintah Syam semasa pemerintahan Turki Uthmaniah ..Syeikh Hassan Habannakah,seorang Murabbi yang melahirkan syeikh-syeikh yang mashyur pada hari ini, syeikh bouti, syeikh  Wahbah, Syeikh Bugho, adakah mereka ni hanya mengajar kitab-kitab di jamik semata-mata dan langsung tidak melibatkan diri dengan persatuan, aktiviti kemasyarakatan, program-program tarbiah adakah mereka tidak turun padang???

 Para Qura Syam Yang Tidak Henti-Henti Mentarbiah Masyarakat

 Haflah maulid Nabi tiap-tiap tahun di jamik-jamik mustahil tak ada pengarah programnya, ajk publisitinya , ajk persiapan akhirnya, progmernya, ajk protokolnya !!! kaki-kaki talaqi yang tak suka berpersatuan takkan tak perasan semua ni?? Malang sekali, dan sungguh perasanlah golongan-golongan yang macam ni nak menjadi bakal ulamak tapi tidak mencontohi ulamak yang di hadapan mereka sendiri.. Di sini, penulis bukan ingin menghentam kaki talaqi, tetapi nak memberitahu hakikat ulamak yang sebenarnya mesti kehadapan dan berpersatuan..yang berpersatuan sahaja pun,dan tidak bertalaqi pun tak kene juga..Jadi hidup kita perlu mengambil semua unsur-unsur dalam keadaan yang seimbang dan disusun dengan bijak..

Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang Yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke Dalam azab seksa Yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang kamu lakukan.(al-baqaroh : 85)

Kalau kita yang kaki talaqi dan kaki Masjid pun menolak tuntutan Sunnatullah, apa lagi yang kita boleh harap dengan pelajar Syariah yang merokok kat cc, kat Pasar dan tempat-tempat awam, menga’ibkan imej-imej Ulamak!! Jadi, kitalah yang mesti mengubah cara hidup, cara berfikir, cara bertindak bagaimana kita mesti menjadi Ulamak negarawan..

Di sini sedikit panduan bagaimana menyusun masa, supaya seimbang di antara pengajian, persatuan , talaqi dan beberapa keperluan lain..walau bagaimanapun terpulang kepada kita bagaimana hendak menyusun dari segi subjek dan sebagainya..

MANHAJ ULAMAK NEGARAWAN   

MISI YANG PERLU DIPATUHI            

  • Menjaga Akhlak dan adab-adab sebagai pelajar syariah
  • Melibatkan diri dengan  persatuan dan memegang jawatan atau menghandle program

cth: jadi pengarah program, ajk kecil

  • Melazimi Talaqi khususi/ umumi (tidak terlalu banyak ,seimbangkan masa untuk keperluan lain).
  • Born to be a reader (membaca sebulan satu buku)
  • Wajib dawam.
  • Menyertai latihan kemahiran yang disediakan seperti (Bercakap, menulis, kepimpinan)
  • Bercakap bahasa Arab di dalam rumah/usrah dan meeting.
  • Taklifat yang diberikan oleh lajnah tarbiah melalui naqib mesti dibuat dan dipantau oleh naqib mengikut diskusi/usrah masing-masing.

    TALAQI 

    PERSATUAN 

    KELAS/KULIAH 

     

    Khususi

    Cth : Ajk Tarbiah

               Wajib Dawam

    Umumi

    Naqib

    Study Group

     

     

    Perkongsian Pintar (suruh mengajar)

    Ilmu terbahagi kepada 2 iaitu ilmu maqruah yang kita perolehi daripada kelas dan talaqi..dan kelebihan talaqi ini selain daripada ilmu ialah mendidik hati kita bersifat sebagai seorang Murabbi, kerana dekatnya kita dengan para pewaris nabi. Maknanya, orang yang tidak bertalaqi ini sifatnya jauh sekali untuk menjadi seorang Murabbi. Boleh jadi a’lim, cerdik, no.1 sokmo dalam kelas tapi bukan Murabbi. Kedua adalah ilmu “ Nazori” ilmu mengurus, mentadbir, berkepimpinan dan mempunyai kemahiran tambahan lain atau disebut “soft skill”  yang kita perolehi daripada berpersatuan. 3 unsur di atas  mesti diambil dan disusun dengan seimbang oleh setiap bakal ulamak negarawan bukan mengambil sebahagian, dan meninggalkan sebahagian yang lain, kalau begitu cerah masa depan untuk jadi ulamak suk

     ILMU-ILMU YANG MESTI DITALAQI

    KHUSUSI CONTOH KUTAIB PENULIS BUKU Umumi
    1.Al-Quran hadir/ Ghaib (bagi yang hafiz)                –                  –    

    3 Talaqi Umumi yang anda boleh ISTIQAMAH

    2.Nahu     Tuhfatus Thaniah Muhammad Mahyudin Abd Hamid
    3. Sorof Syazzil u’rfi fi Fannis sorfi Syeikh Ahmad Himlawi
    4.Akidah Al-Manhajul Mufid Fi Bina Iman wala’kidah Syeikh Ismail Majzub
    5. Mustolah Hadith Usul Hadith Syeikh A’jaj Khatib
    6.Usul Fiqh Matan Waroqot Jalaludin Muhammad
    7.Ulum Quran Ulum Quran al-karim Syeikh Nuruddin I’tir
    8. Qowaid Fiqhiyyah Al-furu’un naddiah Syeikh A’li Syarbaji
    9.Sirah        Fi tarikh Isalami Syeikh Syauqi abu kholil
    10. Maqosid syariah Maqosid assyariah wa al-qowaid al-kuliyyah Mujamma Abu Nour
    11. Mantiq   Mughni At-tullab    Athiruddin alabhari

     

    Beberapa ilmu alat dan asas yang mesti di kuasai sepenuhnya..

    PLAN TINDAKAN TALAQI KHUSUSI & UMUMI

     

    Al-Quran

     

     PERKARA Kelas Bahasa/      daurah  Tahun 1        (Kuliah)      Tahun 2        (Kuliah)      Tahun 3        (Kuliah)     Tahun 4     (Kuliah)
     KHUSUSI  Nahu   Tauhid        Usul Fiqh  Qowaid Fiqhiyyah  Mantiq 
     Sorof           Mustolah hadith        Ulum Quran         Sirah       Maqosid Syaria’h 
     JANGKA     MASA  1 Tahun        1 Tahun         1 Tahun  1 Tahun  1 Tahun
       

                                                                                UMUMI

    Untuk talaqi Quran dan umumi berjalan sepanjang masa daripada mula kita sampai di Syria sehinggalah tamat pengajian..Begitu juga dengan khususi mesti bermula di awal tahun kita berada di Syria walaupun baru mengambil bahasa, jangan dengan alasan nak tumpu bahasa talaqi pun tak pegi. Kita nak kuatkan bahasa yang kita pelajari di pagi hari, pergilah talaqi di waktu petang, insyaAllah sekiranya kita tekun dan melazimi hari-hari kita akan faham.

    Untuk subjek yang mengambil jangka masa setahun untuk habis penulis menggalakkan kita belajar secara khususi untuk lebih menguasai. Tidak perlu bertalaqi sampai 10 madah setahun, tinggal persatuan, last-last madah yang dalam kelas pun tak lepas, susun baik-baik agar semua keperluan seimbang..

    MISI BORN TO BE A READER

                BULAN         TAJUK BUKU       PENULIS BUKU     T/TANGAN
    JANUARI      
    FEBUARI      
    MAC      
    APRIL      
    MEI      
    JUN      
    JULAI      
    OGOS      
    SEPTEMBAR      
    OKTOBER      
    NOVEMBER      
    DISCEMBER      

     

     “Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan,  Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.”

    FATAWA MUA’SOROH/ FIQH MARA’H

    MAJALAH WAI’E ISLAMI

    BUKU-BUKU YANG BERMANFAAT

    BUKU-BUKU FIKRAH

     

    Sebagai Konklusi, Marilah kita bermuhasabah dan fikir kembali sejak kita memijak kaki di bumi barakah ini apa yang telah kita dapat..bagi yang masih ada masa, belum terlewat untuk kita memperbaiki kesilapan dan mengubah diri..Sekali lagi penulis menyatakan bahawa ini bukanlah satu manhaj yang tetap yang setiap orang mesti patuhi, tetapi hanya sekadar  contoh panduan yang sangat dhaif daripada penulis sebagai lontaran dan cadangan…Wallahu a’lam

       ULAMAK NEGARAWAN